mutakhir

Dipaksa terjun laut disyaki dijangkiti Covid-19 [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

TEKONG warga asing yang mengalami batuk, selesema dan demam dipaksa terjun ke laut oleh awak-awaknya kerana dikhuatiri dijangkiti wabak Covid-19 di perairan Pulau Bidong, Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Tindakan itu menyebabkan tekong bot warga Thailand berusia 40-an berkenaan terpaksa berenang satu kilometer ke Pantai Bidong.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, mangsa diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam selepas dimaklumkan nelayan tempatan.

Katanya, ketika ditemui mangsa dalam keadaan tidak bermaya.

“Hasil temubual dilakukan, tekong bot itu dipaksa terjun dari bot akibat mengalami batuk, selesema dan deman selepas beberapa hari lalu keluar menangkap ikan.

“Kita difahamkan, dia dipaksa terjun ke laut ketika memasuki perairan Pulau Bidong Sabtu lalu, manakala bot berpatah balik ke negara asal,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Pasar Borong Kampung Gong Pauh, Kuala Terengganu, hari ini. Turut membuat tinjauan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Exco kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Abdul Rahim Md Din dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Roslee berkata, tiada sebarang dokumen ditemui ketika pemeriksaan dilakukan ke atas tekong berkenaan.

“Dia kemudian dihantar ke pusat kuarantin di Marang semalam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Roslee mengesahkan, seramai 63 individu ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dikuatkuasakan 18 Mac lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 42 kertas siasatan dibuka untuk proses pendakwaan.

“Bagi memastikan seluruh masyarakat di negeri ini mematuhi PKP, kita menambah operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) daripada 27 lokasi kepada 64 di seluruh negeri,” katanya.

Mengulas mengenai pegawai dan anggota polis yang terpaksa dikuarantin, Roslee berkata, daripada 40 yang terpaksa dikuarantin, dua daripadanya disahkan negatif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 1:44pm
    d