mutakhir

Penjara sebulan, denda RM1,000 ingkar PKP

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

EMPAT lelaki termasuk tiga remaja dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 di Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), hari ini selepas mengaku bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19.

Keempat-empat tertuduh iaitu J Kalai Arasan, 18; C Logeswaran, 19; Tarama Rajih, 19; dan P Thivagar, 23 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati berhimpun bagi maksud sosial di dalam kawasan tempat jangkitan iaitu di hadapan sebuah rumah di Jalan Dovenvy 2/2 Taman Dovenby, Sungai Siput, pada 8.30 malam, semalam yang membawa kepada penangkapan mereka pada hari sama.

Turut bersama keempat-empat tertuduh ketika kejadian adalah seorang lagi remaja bawah umur berusia 17 tahun yang dituduh mengikut peraturan sama.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, peraturan yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob yang dibacakan dalam bahasa Melayu terhadap kelima-lima tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Kelima-lima tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dan memohon supaya hukuman ditetapkan pada kadar minimum.

Norhabsarina kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama sebulan bermula dari tarikh tangkapan dan denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Bagi tertuduh bawah umur pula, Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak tertuduh.

  • Lagi berita

    berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita

    berkaitan Covid-19

  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 2:21pm
    d