mutakhir

Nak amik beras di Pasir Puteh...[METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

INGIN mengambil beras di rumah mentua di Pasir Puteh yang terletak sejauh 30 kilometer (km) dari Machang.

Itu antara alasan yang diberikan seorang daripada 10 individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Machang.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 13 hingga 46 tahun di sekitar daerah berkenaan.

“Pelbagai alasan yang tidak munasabah diberikan termasuk enggan bekerjasama apabila polis mengarahkan mereka berpatah balik ke kediaman masing-masing.

“Selain itu, ada yang sanggup menggunakan alasan untuk mengambil beras di rumah mentua di Pasir Puteh sejauh 30 kilometer, sedangkan bila disiasat, ia hanya sekadar alasan.

“Daripada 10 yang ditahan, enam sudah didakwa di mahkamah. Kita memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan tidak sesekali keluar tanpa sebarang urusan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, hari ini.

Terdahulu, media dibawa menyertai operasi penguatkuasaan PKP di beberapa lokasi selama dua jam yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Machang, Asisten Superintendan Firdaus Mohd.

Hasil operasi berkenaan, 10 individu diberi amaran selepas dikesan berkumpul.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi itu, lima individu di Kampung Pek yang sedang leka menjamu colek buah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.

Namun, pihak polis sempat menahan dan memberi amaran tidak membenarkan berkumpul sebelum mereka dilepaskan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 5:27pm
    d