mutakhir

Tujuh peniaga ingkar PKP dikompaun [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengenakan kompaun RM500 terhadap tujuh peniaga kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam 'Ops Ketegaq' di Alor Setar, semalam.

Dalam operasi bermula 8 malam, mereka terdiri dua peniaga kedai runcit, kedai makan (3) dan masing-masing seorang penjual burger dan penjual buah didapati membuka premis melebihi waktu ditetapkan.

Timbalan Setiausaha MBAS, Mohd Rizal Mohamad Radzi berkata, kedai makan, kedai buah dan penjaja tepi jalan dibenarkan berniaga antara 6 pagi hingga 8 malam ketika tempoh PKP ini.

Menurutnya, semua peniaga sepatutnya perlu patuh kepada arahan yang ditetapkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19, namun masih ada segelintir yang ingkar.

"Berikutan itu kita terus memberi kompaun berikutan notis dan amaran lisan sudah dimaklumkan, sebelum ini.

"Kita terpaksa mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mereka masih ingkar arahan," katanya.

Mohd Rizal berkata, pemeriksaan dibuat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurutnya, pihaknya turut menahan seorang lelaki warga India berusia 47 tahun di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 5:49pm
    d