mutakhir

14 lokasi di Jasin jalani sanitasi awam

Oleh Nazri Abu Bakar

MAJLIS Perbandaran Jasin (MPJ) melakukan proses sanitasi awam atau nyahkuman di 14 lokasi sekitar kawasan perumahan awam, pusat sukan, taman rekreasi dan medan selera dalam daerah berkenaan.

Yang di-Pertua MPJ Musaffa Ali berkata, kerja-kerja berkenaan dilakukan Unit Vektor Jabatan Landskap Dan Perkhidmatan Bandar (JLPB) MPJ.

Menurutnya, mereka akan terus melaksanakan tugasan berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah rantaian Covid-19.

“Kerja-kerja sanitasi turut dilakukan sekitar kawasan taman permainan serta premis bangunan MPJ.

“Hari ini membabitkan 14 kawasan termasuk taman permainan Dataran Jasin, Taman Kelubi Damai , Jasin Waterfront selain Medan Selera Orang Jasin, Taman Maju Fasa 4 dan empat tandas awam,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap warga Jasin sentiasa akur dan patuh kepada PKP supaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Kantanya, pihaknya akan melakukan semburan nyahkuman di 15 lagi lokasi.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga sudah proses sanitasi awam di beberapa kawasan seperti Taman Bandaraya Bukit Serindit, Stadium Tun Fatimah, Stadium Hoki, Medan Selera Melaka Sentral, Medan Selera Pantai Peringgit, Medan Selera Tengkera Pantai 1 dan Medan Selera Taman Kenanga.

Taman Permainan Rumah Awam dan Rumah Pangsa Peringgit dan tiga taman permainan seperti Taman Permainan Taman Rumpun Bahagia, Taman Permainan Taman MGBM dan Gerai MBMB di Bachang turut dijalankan proses berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 5:51pm
    d