mutakhir

Sarawak peruntuk RM16.4j untuk bekalkan makanan asas

Oleh Melvin Joni

KERAJAAN Sarawak memperuntukkan RM16.4 juta untuk membekalkan makanan asas kepada golongan sasaran di seluruh negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, golongan berkenaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian/ Daerah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang relevan.

“Ia boleh merangkumi ketua isi rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk golongan miskin bandar dan mereka yang kehilangan pendapatan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam sidang media Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak diminta untuk memastikan bekalan makanan mencukupi di setiap 800 buah pusat jualan/ kedai runcit di seluruh negeri ini.

Selain itu, katanya harga makanan mesti dikawal mengikut harga borong dan semua pusat jualan/ kedai runcit dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata semua pengangkutan yang membawa bekalan makanan akan dibenarkan oleh polis untuk membuat penghantaran ke seluruh Sarawak tanpa sekatan.

“Kerajaan akan menggunakan semua sumber pengangkutan seperti tentera dan bomba bagi penghantaran makanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang jauh dan rumit seperti Belaga, Baram, Bario, Batang Ai, Kapit, Ba’Kelalan dan Long Semadoh.

Beliau berkata, Jawatankuasa Bencana Bahagian Daerah akan mengenal pasti pusat pengagihan di setiap bahagian dan daerah untuk ia diselaraskan dengan teratur dan kepatuhan kepada PKP.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:27pm
    d