mutakhir

40 didakwa langgar PKP, 7 gagal hadir [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI 40 individu didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19.

Kesemua tertuduh berusia antara 20 hingga 65 tahun dan tujuh daripada mereka mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan 30 lagi mengaku bersalah kerana ingkar PKP, manakala tiga individu lagi tidak mengaku salah.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 186 Kanun keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati tidak mematuhi arahan penguatkuasaan PKP dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain yang membawa kepada penangkapan mereka pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

Mengikut 30 kertas siasatan yang dikemukakan, kesemua tertuduh ditahan dari 27 hingga 28 Mac lalu membabitkan empat daerah iaitu Seri Alam, Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chai Ing Hien di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim manakala semua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Kesemua tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dan memohon supaya hukuman ditetapkan pada kadar minimum.

Mohd Zulhilmi kemudiannya menetapkan hukuman penjara selama tempoh antara 10 hingga 20 hari dan denda RM400 hingga RM500 kepada 30 individu yang ingkar PKP, manakala bagi kesalahan menghalang penjawat awam, tertuduh dikenakan denda RM4,000 hingga RM5,000.

Waran tangkap akan dikeluarkan kepada tujuh lagi individu yang gagal hadir ke mahkamah pada hari ini.

Kesemua tertuduh menjadi kumpulan yang kedua didakwa di negeri ini selepas empat lelaki termasuk tiga remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor, pada 26 Mac lalu.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, 10 individu termasuk lima remaja bawah umur direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas ingkar PKP iaitu mengadakan parti di sebuah kondominium di Jalan Dato Abdulah Tahir, Johor Bahru, kira-kira jam 10.40 pagi semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 7:20pm
    d