mutakhir

Bersatu hadapi PKP Fasa 2

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

MASYARAKAT perlu terus bersatu memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua bermula 1 April ini berjaya menangani penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kejayaan PKP ini bergantung sepenuhnya kepada tahap pematuhan masyarakat terhadap perintah dikeluarkan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Menurutnya, KKM akan terus memainkan peranan signifikan bagi menangani Covid-19 dan memberikan kesedaran untuk menghindari wabak berkenaan kepada masyarakat.

“Kita sudah lengkapkan dua minggu pertama (PKP) dan ada dua minggu lagi. Kejayaan seterusnya adalah bergantung kepada kita semua bagaimana kita lakukan (untuk patuh kepada arahan).

“Kita perlu terus tinggal di rumah dan kami (KKM) akan teruskan aktiviti kesihatan awam dan pemeriksaan, selain mencari kumpulan sasar seperti jemaah tabligh, sekolah tahfiz dan individu lain, termasuk warga Rohingya,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jika kumpulan sasar ini dapat dikesan dan ujian dilakukan lebih awal, rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan di negara ini.

Katanya, kini adalah masa untuk mendatarkan jumlah kes jangkitan daripada terus naik dengan mendadak.

“Jika ini tidak berlaku, jangkaan JP Morgan dan Institut Kajian Ekonomi Malaysia bahawa jumlah kes akan meningkat pada pertengahan April mungkin boleh berlaku.

“Kita takut gelombang kedua akan berlaku selepas warga Malaysia pulang daripada bercuti, belajar dan bekerja di luar negara dan membawa bersama wabak ini ke dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan pembukaan bazar Ramadan kerana memerlukan masa melihat trend kes jangkitan.

Katanya, KKM akan membuat keputusan lanjut sekiranya jumlah kes jangkitan menunjukkan penurunan atau mendatar.

“Apa yang penting penjarakan selamat sekurang-kurangnya satu mereka, elakkan tempat tumpuan ramai dan kebersihan perlu dipatuhi seperti yang ditetapkan KKM jika bazar Ramadan dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 7:21pm
    d