mutakhir

Ingkar PKP untuk sabung ayam, main sepak takraw

Oleh Juwan Riduan

TERBABIT dengan aktiviti sabung ayam dan bermain sepak takraw ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara tangkapan individu yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, seorang lelaki warga emas ditangkap ketika melakukan aktiviti sabung ayam di Ranau, baru-baru ini.

Manakala, sembilan individu ditahan di Telupid, Beluran, semalam ketika bermain sepak takraw.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai 40 individu seluruh Sabah sehingga semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas Jawatan Kuasa Keselamatan Negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Menurutnya, ada dalam kalangan individu ditahan kerana degil enggan berpatah balik dalam sekatan jalan raya seperti yang berlaku di Beaufort.

“Saya terkejut Beaufort pekan kecil tapi apa yang susah sangat untuk duduk di rumah, ini sebab perangai,” katanya.

Sementara itu, Zaini berkata, pihaknya menolak kemungkinan langkah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sabah dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini keadaan semasa adalah terkawal dan menasihatkan orang ramai untuk tidak mempercayai sebarang khabar angin berhubung perkara itu.

“Secara keseluruhan tahap pematuhan rakyat di negeri ini kepada mencapai tahap 95 peratus iaitu pencapaian yang sangat baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 7:43pm
    d