mutakhir

Covid19- Ujian saringan selesai 10 hari

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan tempoh 10 hari bagi melengkapkan saringan Covid-19 bagi penduduk Simpang Renggam yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini proses pengambilan sampel sedang giat dijalankan di kawasan berkenaan dengan menggunakan kaedah dari rumah ke rumah.

Menurutnya, dengan kemampuan sedia ada, KKM dapat menjalankan 300 saringan sehari dengan jumlah keseluruhan penduduk seramai 3,000 orang.

“Menerusi kerjasama pelbagai agensi lain, proses nyahkuman dan nyahcemar kini giat dijalankan di kawasan yang terjejas.

“KKM juga akan jalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk pastikan golongan sasar dikesan seterusnya ujian saringan dapat dilakukan segera,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dua kampung berkenaan adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid diarahkan untuk menjalani PKPD bermula 26 Mac hingga 9 April ini.

Dalam pada itu, KKM juga bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia bagi membantu mengesan warga Rohingya yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling hujung bulan lalu.

“Kami juga meminta badan bukan kerajaan (NGO) yang mengenali kumpulan ini agar meminta mereka datang menjalani ujian saringan segera.

“Kami percaya mereka juga hadir dan jika positif mereka akan menjalani proses isolasi di premis KKM yang ditetapkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 7:48pm
    d