mutakhir

Ditahan kerana aksi wheelie ketika PKP

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENUNGGANG skuter bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah turut melakukan aksi wheelie di Taman Seri Utama, Gurun, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang, lelaki berusia 26 tahun dan rakannya berusia 20-an dikatakan menunggang motosikal berasingan ditahan polis yang melakukan rondaan di kawasan itu.

Polis mengeluarkan saman terhadap lelaki itu kerana menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, manakala motosikal rakannya pula disaman kerana tiada nombor plat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim berkata, pihak polis mengarahkan mereka beredar, tetapi lelaki itu yang menunggang skuter Yamaha NVX155 bertindak melakukan wheelie.

Menurutnya, perbuatan lelaki itu mengundang bahaya kerana dia juga didapati tidak memakai topi keledar.

“Polis kemudian mengekorinya sehingga tiba di hadapan rumahnya sebelum menahan lelaki itu pada 6.50 petang (semalam).

“Lelaki itu kemudian dibawa ke Balai Polis Gurun berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki itu sepatutnya berada dalam rumah ketika PKP masih dilaksanakan bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Peraturan (7)(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 8:01pm
    d