mutakhir

Pakar dari China bantu Sabah atasi Covid-19

Oleh Yun Mikail

SABAH bakal menerima bantuan pakar daripada China dalam langkah menangani penularan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau sudah berhubung dan bakal bermesyuarat dengan kerajaan pusat mengenai perkara itu.

“Konsul General China ke Sabah, Liang Caide juga memaklumkan kini terdapat sembilan hingga 10 pakar daripada republik itu yang bersedia menyumbangkan kepakaran masing-masing untuk membantu negeri ini.

“Kita berpendapat perkara ini suatu sumbangan besar buat kerajaan negeri dan sebolehnya mahu membawa semua pakar ini secepat mungkin apabila mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKKN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi tempat semua pakar daripada China terbabit menjalankan penyelidikan.

“Saya yakin perkara ini perlu kita sediakan lebih awal sebelum pertambahan kes positif Covid-19 terus bertambah di semua daerah.

“Kita perlu ada keupayaan seumpama ini kerana pakar yang ada bukan hanya boleh membantu Sabah mencari solusi malahan mampu melatih pihak berkaitan termasuk doktor dan jururawat di negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 8:33pm
    d