mutakhir

MAB sambung beberapa penerbangan antarabangsa

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) akan memulakan beberapa penerbangan antarabangsanya bermula April hingga Mei depan, untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di beberapa negara berikutan arahan sekatan perjalanan di banyak tempat di seluruh dunia.

Penerbangan itu membabitkan laluan Kuala Lumpur ke dan dari Auckland, Melbourne, Sydney, Perth, Jakarta dan Guangzhou.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail berkata, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada rakyat Malaysia, malah warga asing bertanyakan mengenai penerbangan, kebanyakannya antara Kuala Lumpur ke Australia dan New Zealand, serta Kuala Lumpur ke London.

“Menjadi syarikat penerbangan rangkaian, Malaysia Airlines mampu mengekalkan hubungan dan membawa pelanggan kami terus atau paling dekat dengan destinasi yang mereka inginkan.

“Dan sebagai syarikat penerbangan kebangsaan , adalah kewajipan kami untuk memastikan kebolehcapaian Malaysia di dalam dan luar negara pada masa-masa sukar sekarang ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Malaysia Airlines terpaksa mengurangkan kekerapan dan jadual domestiknya dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan beroperasi terutamanya untuk memudahkan perjalanan dan pergerakan kargo yang penting.

Izham berkata, MABkargo juga sudah menyediakan kapasiti untuk seluruh rangkaian domestik dan antarabangsanya dan di rangkaian pengangkut global MABkargo bagi membawa peralatan dan bekalan perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 8:36pm
    d