mutakhir

Lima lelaki langgar PKP dipenjara, didenda

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

LIMA lelaki yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi kumpulan pertama penduduk di Jempol dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret Bahau, hari ini.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari ke atas S Mahenthiran, 43, S Muniandy, 29, dan K Vijayakumar, 29, selepas kesemua tertuduh berasal dari Bahau mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh pada 6.20 petang Sabtu, bertempat di kebun kelapa sawit di jalan Kampung Taman Jaya didapati bergerak dari suatu tempat ke tempat lain biarpun PKP sudah dikuatkuasakan.

Ketiga-tiga mereka dikesan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3( 1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah -Langkah Di Dalam Tempat Jangkitan) 2020 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Khir Nizam turut menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap J Narkumar, 24 manakala rakannya, J Arivendran dipenjara untuk tempoh sama selain didenda RM500.

Kedua-dua mereka dituduh didapati melanggar PKP selepas dikesan berada di taman permainan di Taman Megah, Bahau pada 6.50 petang, Sabtu.

Khir Nizam menetapkan, hukuman penjara terhadap kedua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor. Hashimi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 3:17pm
    d