mutakhir

Penghantar surat dipenjara 25 hari, denda RM3,000

Oleh Amran Yahya

SEORANG penghantar barang dihukum penjara 25 hari dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Mohd Zahurin Abu Bakar, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 27 Mac lalu pada 3.40 petang di Kilometer 9, hadapan Klinik Kesihatan Juasseh, Kuala Pilah menghalang seorang penjawat awam daripada menjalankan pekerjaannya.

Disebabkan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK).

Mahkamah memutuskan hukuman penjara selama 25 hari itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap serta denda RM3,000 dan tambahan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 3:41pm
    d