mutakhir

Kawalan lebih ketat

Oleh Juwan Riduan

PASUKAN keselamatan meningkatkan kawalan pergerakan di perairan Sabah khususnya di Tawau bagi mengekang pencerobohan melalui ‘jalan tikus’.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, ini termasuk memantau kemasukan jemaah tabligh rakyat Sabah yang difahamkan masih berada di Indonesia untuk masuk ke Tawau melalui perairan negara.

“Setakat ini, kumpulan tabligh yang dimaksudkan akan berhubung terus dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya mereka mahu memasuki ke negeri ini.

“Kita bukan mahu mengekang pergerakan dari pulau-pulau termasuk kumpulan tabligh dari Indonesia itu masuk ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Operasi Bersama PPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, masih ada baki jemaah tabligh Malaysia yang berada di Indonesia.

Terdahulu, seramai 24 individu daripada kumpulan tabligh yang menyertai Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia diiringi pasukan keselamatan baru-baru ini, sebelum dikuarantin di pusat kuarantin Tawau.

Sementara itu, mengulas pergerakan di perairan seluruh Sabah terutamanya daerah Tawau sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohamad Pajeri berkata, setakat ini, tiada sebarang cubaan masuk secara haram dilaporkan.

Katanya juga, pihaknya bersama APMM bekerjasama mengawal sebarang pergerakan di Sabah termasuk bot kumpit di beberapa lokasi perairan negeri ini.

“Melalui kerjasama ini kita harap pematuhan komuniti maritim di Sabah pada tahan yang tinggi.

“Hasil rondaan ketika pelaksanaan PKP yang dijalankan oleh PPM dan APMM di perairan Sabah mendapati pematuhan di tahap yang baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 3:51pm
    d