mutakhir

Penarik kereta, penganggur dipenjara lapan bulan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG penarik kereta dan penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar polis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Muhammad Nur Saddiq Isham Marzuki, 24 dan Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah, 25, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bagi pertuduhan menyamar polis dan penjara empat minggu bagi kesalahan melanggar PKP.

Majistret Mohammad Aizat Abdul Rahim memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Mac lalu dan mereka kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa menyamar sebagai anggota polis dan dalam penyamaran itu menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di tempat letak kereta aras bawah tanah Sunway Velocity Mall, Off Jalan Peel, di sini, pada jam 10.20 pagi, 24 Mac lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dua individu berkenaan juga mengaku berada di dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah dalam tempoh PKP susulan penularan wabak Covid-19 di tempat dan masa sama.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin yang memohon hukuman setimpal memandangkan kesalahan menyamar polis kesalahan serius dan berlaku ketika PKP dikuatkuasakan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 5:36pm
    d