mutakhir

Lubuk duit penternak lembu terjejas

Oleh Amran Yahya

“LUBUK duit kami sebagai penternak lembu adalah ketika mantai perdana sempena kedatangan Ramadan, menjelang Aidilfitri dan ibadah korban sempena Aidiladha.

“Namun, tahun ini semua itu seperti ‘samar-samar’ selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang wabak Covid-19,” kata penternak lembu dan kambing, Muhammad Hanif Ismail, 31.

Muhammad Hanif berkata, perniagaannya terjejas selepas banyak tempahan dibatalkan pelanggan.

“Kebiasaannya, musim cuti sekolah adalah saat yang dinantikan oleh setiap penternak kerana ketika inilah peluang menjana pendapatan.

“Namun, tempahan 20 kambing jenis boer dan biri-biri untuk akikah dibatalkan pelanggan termasuk 40 lembu yang ditempah syarikat katering dan individu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Jemapoh, Juasseh.

Pengasas syarikat BF Farm itu berkata, dia menyedari pandemik ini adalah perkara yang tidak boleh dielakkan malah turut melanda di seluruh dunia.

“Bagaimanapun sebagai penternak, kesannya amat ketara apabila kami terpaksa menanggung pelbagai kos harian.

“Sekiranya tiada pembatalan tempahan, saya mempunyai modal pusingan yang cukup untuk membayar gaji pekerja serta membeli makanan ternakan.

“Kini, saya terpaksa menanggung kos makanan yang tinggi untuk 150 lembu dan kerbau serta 120 kambing,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hanif berkata, harapan untuk menambah pendapatan pada program mantai perdana pada tahun ini juga dilihat semakin tipis.

“Mantai perdana ibarat ‘lubuk duit’ buat kami namun sekiranya PKP masih dilaksanakan, maka pudarlah harapan kami untuk mencari duit lebih. Ini kerana setiap kali menyertai mantai perdana, lebih 50 lembu saya akan terjual yang sudah pasti menjanjikan rezeki buat saya.

“Bagaimanapun, sekiranya mantai perdana tidak mendapat kelulusan, saya berharap agar kerajaan negeri memikirkan supaya mantai untuk jualan di tepi jalan dibenarkan dan hanya itulah saja jalan penyelesaian yang ada,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 11:12am
    d