mutakhir

Masih lagi nak melepak

Oleh Norsyazwani Nasri

TIGA lelaki yang melepak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima padah apabila ditahan polis yang melakukan rondaan, malam tadi.

Tiga lelaki berusia 17 hingga 30 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta di hadapan Perpustakaan Awam Kabong, pada jam 8.25 malam.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mordani Tanin berkata, ketiga-tiga suspek ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Kabong untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan kerana melanggar syarat PKP mengikut Seksyen186 Kanun Keseksaan (KK)/ 7 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

“Mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada barang terlarang ditemui bersama suspek, namun ditangkap kerana didapati melanggar PKP.

“Memasuki fasa kedua tempoh lanjutan PKP hingga 14 April, pihak polis dan penguat kuasa lain yang terbabit akan bertindak lebih tegas,” katanya.

Beliau berkata, masih ramai yang degil dan ingkar dengan arahan PKP yang dijalankan ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 11:55am
    d