mutakhir

Buntu nak bayar sewa rumah

Oleh Hassan Omar

TEMPOH 12 hari tidak menoreh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan seorang penoreh buntu untuk menjelaskan sewa rumah sebanyak RM300, selain menghadapi masalah wang belanja harian semakin susut.

Bebanan itu semakin menyukarkan R Arumugam, 44, untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi harga getah beku merudum ke paras RM1.40 sekilogram sejak tiga hari lalu berikutan ketiadaan operasi industri barangan berasaskan getah sepanjang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP mulai 18 Mac lalu, beliau tidak berani keluar menoreh kerana bimbang ditahan pihak berkuasa kerana melanggar PKP.

“Bagaimanapun saya lega apabila kerajaan mengumumkan penoreh, pembeli dan pengilang getah dibenarkan beroperasi semula pada 24 Mac lalu tetapi saya hanya memulakan semula kerja menoreh tiga hari kemudian.

“Hari ini saya menjual getah beku dikumpulkan sejak tiga hari lalu, tetapi amat kecewa kerana harga sudah jatuh kepada RM1.40 berbanding RM2.40 sebelum Covid-19 bermula,” katanya ketika ditemui menoreh di kebun getah milik seorang penduduk Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, Alor Gajah, hari ini.

Berbekalkan getah beku seberat 76kg dan pada harga sedemikian, Arumugam hanya memperoleh RM53 selepas hasil jualan dibahagi dua dengan pemilik kebun berkenaan tetapi dia terpaksa berpuas hati dengan hasil jualan itu.

Menurutnya, hasil jualan itu tidak cukup untuk menjelaskan sewa bulanan kediamannya di sebuah taman di Lubuk Redan, Masjid Tanah sedangkan pemilik rumah berkenaan didakwanya sudah berkali-kali meminta supaya bayaran itu segera dijelaskan.

“Saya buntu macam mana mahu dapatkan duit untuk bayar sewa rumah kerana wang untuk membeli barang makan pun sudah hampir habis, tetapi saya bernasib baik kerana ada terima barang makanan diberi seorang lelaki beberapa hari lalu.

“Saya menoreh getah untuk mendapatkan wang perbelanjaan harian keluarga selepas kerja dilakukan sebelum ini mengendalikan jentera pengorek menyebabkan pinggang dan tulang belakangnya sakit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 2:19pm
    d