mutakhir

Tunggu kami telefon anda...

Oleh Adnan Ibrahim

KETUA keluarga atau isi rumah warga peneroka di Felda Ulu Dengar, Kluang hanya perlu menunggu panggilan telefon daripada pengurusan Felda itu sebelum datang mengambil barangan sumbangan di pejabat Gabungan Pergerakan Wanita (GPW) agensi berkenaan.

Pendekatan ini secara tidak langsung mengelakkan pertemuan antara penerima dan penyumbang apabila barangan yang disumbang diletak di luar pagar pejabat sebelum diambil penerima.

Pengurus Felda Ulu Dengar, Sahrin Mahhasan berkata, untuk mengelakkan pertembungan dalam kalangan penerima, pihaknya terlebih dulu memastikan ketua keluarga yang sudah dihubungi mengambil sumbangan mereka sebelum menghubungi penerima lain.

Katanya, cara ini walaupun agak lambat dan perlu bekerja lebih, namun ia perlu bagi memastikan penjarakan sosial seterusnya memutuskan rantaian Covid-19.

“Bagi petugas yang mengendalikan sumbangan, kami pastikan mereka mengikut langkah keselamatan sewajarnya seperti sentiasa membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman selepas atau sebelum menyerahkan barangan itu.

“Kami mungkin memerlukan dua hari untuk menyerahkan semua sumbangan ini kepada 130 daripada 299 keluarga di sini,” katanya hari ini.

Menurut Sahrin, keluarga yang terpilih untuk menerima bantuan ini adalah mereka yang terjejas teruk dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat kehilangan pekerjaan buat sementara.

“Turut terpilih adalah keluarga yang mempunyai isi rumah menghidap penyakit kronik, generasi kedua, asnaf serta ibu atau bapa tunggal yang tinggal berseorangan.

“Terima kasih kepada penyumbang iaitu Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) Felda Ulu Dengar, Koperasi Peneroka Felda Ulu Dengar, Badan Agama Felda Ulu Dengar dan Biro Ladang Felda Ulu Dengar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 2:57pm
    d