mutakhir

Hukuman penjara mula sedarkan masyarakat

Oleh Mohd Roji Kawi

JUMLAH tangkapan individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak menurun pada hari terakhir fasa pertama penguatkuasaan, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, dalam tempoh 24 jam iaitu 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini, seramai 36 orang ditangkap kerana ingkar PKP di seluruh negeri.

“Jumlah tangkapan itu berkurangan sedikit berbanding beberapa hari sebelum ini dan ia mungkin orang ramai sudah mula takut kerana hukuman penjara sudah dikenakan kepada mereka yang dituduh di mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi berkata, seramai 98 orang daripada 150 yang didakwa di mahkamah kerana ingkar PKP di seluruh negeri sudah dijatuhkan hukuman penjara dan denda sejak 18 Mac lalu.

“Seramai 125 orang daripada 150 yang kita tuduh itu mengaku bersalah ketika dibicarakan dengan 69 orang daripadanya dijatuhkan hukuman penjara, 29 dipenjara serta denda dan 14 lagi didenda.

“Sibu merekodkan jumlah paling ramai dijatuhkan hukuman penjara iaitu 31 orang dan kebanyakan mereka dihukum penjara antara dua minggu hingga tiga bulan,” katanya.

Menurutnya lagi, tujuh suspek gagal hadir di mahkamah dan waran tangkap terhadap mereka sudah dikeluarkan.

“Jumlah tangkapan keseluruhan sejak PKP dikuatkuasakan sehingga hari ini adalah seramai 312 orang, 150 sudah didakwa manakala selebihnya dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Aidi berkata, peratusan pematuhan PKP di Sarawak sehingga semalam mencapai tahap 95.3 peratus.

“Diharapkan agar masyarakat akan terus memberikan kerjasama dalam usaha kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 4:18pm
    d