mutakhir

Bakal pengantin langgar PKP didenda RM1,000

Oleh Amir Mamat

SEPASANG bakal pengantin dijatuhi hukuman denda RM1,000 di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, selepas mengaku salah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menaiki motosikal di Pegoh, Sabtu lalu.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Farhan Mat Kais, 30, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tunangnya, Norain Mohamed, 28, bekerja sebagai kerani.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama pada 6.30 petang 28 Mac lalu bertempat di kawasan kilang Honda, Pegoh didapati bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain tanpa sebab munasabah di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB), yang dihukum di bawah Perkara 7 peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan hukuman setimpal kerana melanggar arahan PKP dan alasan yang diberikan ketika itu untuk membuat pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) di kilang itu tidak munasbah sedangkan terdapat mesin ATM berhampiran rumah mereka.

Muhammad Farhan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda diringankan dengan alasan perlu menggunakan wang yang banyak bagi persiapan perkahwinan mereka Julai depan manakala Noraini dalam rayuannya meminta hukuman diringankan kerana baharu sebulan bekerja dan belum mendapat gaji.

Ahmad Sazali sebelum menjatuhkan hukuman itu berkata, dalam tempoh PKP ini seharusnya orang awam bersabar dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Tegasnya, ini adalah kesalahan diri sendiri yang tidak mahu memberikan kerjasama.

Sementara itu, di mahkamah sama, seramai 16 individu termasuk enam warga asing berusia 25 hingga 45 tahun turut mengaku salah melanggar perintah PKP selepas pertuduhan dibaca secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Ahmad Sazali menetapkan lapan daripada mereka dikenakan denda RM900 manakala selebihnya dikenakan hukuman denda RM1,000 dan sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 4:27pm
    d