mutakhir

Cipta kod kesan wajah

Oleh Redzuan Muharam

MASA terluang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Franklin Lingga Abun mencipta kod pengesanan atau mengimbas wajah individu.

Menurut Franklin,23, kod itu dihasilkan berdasarkan gabungan dua teori iaitu Kalkukator Icosian dan Fungsi Hypergeometric Confluent dicipta dua saintis holografik, William Rowan Hamilton dan Francesco Tricomi pada abad ke-19.

Franklin berkata, dia mengambil masa selama tiga hari menyiapkannya dengan melakukan pelbagai percubaan sehingga mendapat hasilnya.

“Kebosanan duduk di rumah berikutan PKP mendorong saya menghasilkan kod dan datangnya idea itu.

“Ia terhasil menerusi kaedah memanipulasi teori Icosian Calculus dan menukar matriks Icosian Calculus dengan matriks muka manusia.

“Setelah menguji kod yang dihasilkan, hibrid membuktikan bahawa kadar pengesanan muka diperbaiki dalam algoritma yang baru dan saya meramalkan Obahawa algoritma ni akan memberikan titik sejarah baru dalam dunia kepintaran buatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Franklin yang menetap di Kota Samarahan, Sarawak berkata, penemuan itu ditambah baik dan diperincikan lagi pada masa akan datang.

Buat masa ini, Franklin merancang menggunakan thermal dalam kod untuk membuat ujian sistem pengenalan muka dalam intensiti cahaya rendah.

“Dengan penemuan ini, teknologi pengesan wajah akan lebih maju dan meyakinkan untuk digunakan dalam banyak sektor dan industri seperti pertanian, pembuatan, pemeriksaan dan keselamatan.

“Lagipun, teknologi ini bukan baru sebaliknya sudah digunakan secara meluas khususnya dalam bidang ketenteraan di Amerika Syarikat (AS).

“Tidak mustahil, ia boleh digunakan dalam bidang kesihatan dan perubatan di negara ini nanti dengan kajian lebih terperinci.

“Usaha saya ini baru di peringkat permulaan dan berharap ada kesinambungan kerana saya yakin bidang ini ada potensi serta masa depan yang cerah,” katanya yang pernah terbabit dalam pembangunan fasa satu robot humanoid pertama Malaysia, Advanced Development Autonomous Machine (ADAM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:44pm
    d