mutakhir

Sepakat bantu rakyat terkesan PKP

Oleh Adnan Ibrahim

SEBANYAK 27 persatuan kaum Tionghua daerah ini menyumbang lima tan beras dan 30,000 telur ayam kepada Pejabat Daerah Kluang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Abd Taib Abu Bakar.

Sumbangan itu bagi membantu rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Pengerusi Persatuan Cina Kluang Datuk Jimmy Low Boon Hong yang mewakili semua persatuan itu berkata, barangan itu bernilai lebih RM21,000 dan sumbangan itu sebagai menyahut seruan untuk sama-sama berganding bahu meringankan beban hidup rakyat yang terkesan.

“Mangsa Covid-19 ini tidak mengira sesiapa dan kerana itu kami menyumbang untuk semua yang terkesan akibat wabak ini.

“Kami harap ia sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung pihak yang terkesan,” katanya pada kenyataan hari ini.

Penolong Pegawai Daerah Nurul Nadiah Mohd Shah berkata, sumbangan itu akan digabung dengan barangan keperluan lain yang sudah disediakan oleh Pejabat Daerah bagi memastikan lebih ramai menerima manfaatnya.

“Sumbangan akan diagih secara berperingkat berdasarkan permohonan yang sudah dimajukan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Abdul Taib memaklumkan, setakat ini, 400 keluarga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap sudah menerima bantuan makanan asas daripada pihaknya.

“Bantuan ini pula akan disalurkan kepada keluarga lain yang masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

“Ia akan diedar oleh empat petugas yang sudah diberikan kelulusan untuk melaksanakannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:51pm
    d