mutakhir

Macam-macam alasanlah kome ni...

Oleh Balqis Jazimah Zahari

MAHU pergi memancing dan hendak membungkus makanan di Ipoh menjadi antara alasan yang diberikan penduduk di bandar raya ini ketika ditahan kerana melanggar peraturan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam tempoh dua minggu PKP dilaksanakan masih terdapat penduduk yang ingkar dan memberi alasan tidak munasabah ketika ditahan.

“Walaupun arahan membungkus makanan dibenarkan, tetapi kita dapati ada alasan tidak munasabah.

“Contohnya, dia mengatakan hendak membeli makanan di Ipoh tetapi apabila kita menyemak nombor kad pengenalan dia tinggal di Bercham, takkan tidak ada kedai di Bercham,” katanya kepada pemberita ketika ditemui membuat pemantauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, hari ini.

A Asmadi menegaskan pematuhan PKP ini bertujuan meminimumkan pergerakan bagi memastikan penyebaran wabak Covid-19 dapat dihentikan secepat mungkin.

Beliau berkata, polis menerima 30 laporan membabitkan 79 tangkapan di sepanjang tempoh fasa pertama penguatkuasaan PKP di bandar raya ini bermula 18 Mac sehingga semalam.

“Tangkapan membabitkan 72 warga tempatan dan tujuh warga negara asing dengan lima tangkapan di Sekatan Jalan Raya (SJR), 22 kes di tepi jalan dan tiga kes di kawasan riadah.

“Selain itu, 33 sudah dituduh semalam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:51pm
    d