mutakhir

APMM, PGU laksana rondaan udara

Oleh Juwan Riduan

BAGI memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan berkolaborasi dengan Pasukan Gerakan Udara (PGU) menjalankan tinjauan melalui udara, hari ini.

Tinjauan dilakukan di sekitar perairan Kota Kinabalu dan Labuan yang turut disertai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah dan Komander PGU Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.

Mohd Rosli berkata, tinjauan udara dilakukan adalah untuk melihat keadaan semasa perairan Kota Kinabalu dan Labuan dalam tempoh 14 hari PKP dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Selama satu jam setengah pemantauan udara dilakukan tidak kelihatan aktiviti perikanan yang aktif cuma kelihatan bot -bot nelayan kecil di persisir pantai sahaja yang keluar menangkap ikan untuk keperluan harian mereka.

“Begitu juga pusat pelancongan di pulau-pulau sekitar Kota Kinabalu juga kelihatan lengang, tidak berlaku sebarang aktiviti sukan air dan riadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sepanjang pemantauan di perairan Labuan juga hanya kelihatan aktiviti perikanan yang dibenarkan sahaja bagi memastikan bekalan ikan bagi penduduk setempat mencukupi.

“Feri-feri penumpang dari Labuan ke Menumbuk juga tidak beroperasi seperti biasa. Begitu juga di perairan Kota Kinabalu hanya bot-bot nelayan tradisional dan bot kelas A, B dan C sahaja yang meneruskan aktiviti perikanan mereka seperti biasa untuk membekalkan hasil laut dan memastikan ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.

“Setakat ini komuniti maritim patuh kepada arahan PKP ini dan memberikan kerjasama dalam mengurangkan pergerakan dan aktiviti mereka di laut.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak PDRM khususnya PGU kerana memberi kerjasama dalam melakukan pemantauan laut melalui udara.

“Usaha dan kerjasama seperti akan diteruskan untuk memastikan arahan PKP ini terus dipatuhi oleh komuniti maritim,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:52pm
    d