mutakhir

Buntu fikir masa depan keluarga

Oleh Siti Rohana Idris

SUDAH jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang boleh digambarkan menimpa lima beranak dari Kampung Kajang Sebidang, Tumpat yang kehilangan ketua keluarga akibat lemas di tali air Sabtu lalu.

Kini, Hatticha Jali, 34, buntu memikirkan bagaimana mahu menanggung kehidupannya bersama empat anak yang berusia enam hingga 11 tahun terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dia berkata, ketika kejadian pagi Sabtu lalu, suaminya, Mohd Hazaini Ibrahim, 37, yang bekerja sebagai tukang rumah ke tali air berhampiran rumah mereka bagi menangkap ikan untuk lauk mereka sekeluarga.

“Suami tidak biasa menangkap ikan dan disebabkan tidak dapat bekerja sepanjang PKP, dia mengambil keputusan untuk menangkap ikan di tali air belakang rumah bersama bapa saudara.

“Suami mengalami kejang otot dan tersembam ke dalam air menyebabkan dia lemas dan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Hatticha berkata, dia sebelum ini mengambil upah membersihkan rumah seorang penduduk kampung dengan bayaran RM10 sehari namun kini sumber pendapatan sudah terputus.

Katanya, untuk beberapa hari ini dia menggunakan wang hasil sedekah orang ramai yang menziarah untuk kelangsungan hidup.

“Setakat ini kami masih mampu bertahan tapi duit pun semakin berkurangan, saya pun tidak tahu bagaimana kami lima beranak akan teruskan hidup,” katanya.

Terdahulu, mereka menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Insaniah Kampung Kajang Sebidang (INSANIAH) yang diketuai presidennya, Syaharudin Mohd Nor yang menyampaikan barang makanan kepada keluarga terbabit.

Syaharudin berkata, keluarga itu memang berada dalam senarai golongan asnaf NGO mereka dan menerima bantuan barang dapur secara bulanan.

“Kehidupan mereka sudah berubah sekarang di mana anak mereka sudah bergelar anak yatim dan isteri menjadi ibu tunggal sekaligus layak menerima bantuan sedikit lebih biasa.

“Kami akan lebih cakna terhadap keperluan mereka dan dalam masa yang sama berharap ada pihak lain yang boleh sama-sama membantu keluarga ini kerana empat anaknya masih kecil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 5:56pm
    d