mutakhir

Rakyat Kelantan semakin patuh PKP [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

KEPATUHAN rakyat Kelantan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin meningkat namun tidak dinafikan ada segelintir yang masih degil.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ada sesetengah individu seolah mencabar penguatkuasa dan mempermainkan peraturan dengan menayangkan pergerakan mereka di luar rumah.

“Ada sebahagiannya yang sengaja nak mencabar (pihak) penguatkuasa contohnya mandi di air terjun dan siarkan di laman sosial, Facebook. Kalau pergi senyap-senyap tidak mengapa, tapi menyiarkannya di laman sosial yang jelas mempermainkan peraturan PKP.

“Bagaimanapun maklumat dari pihak polis mengatakan kepatuhan rakyat Kelantan sudah meningkat menjadikannya sebanyak 96 peratus,” katanya selepas mesyuarat exco di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar turut bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa yang bertindak menangkap individu ingkar dengan PKP.

Beliau juga berseloroh dengan mengatakan ada yang mencadangkan supaya dikenakan tindakan memukul seperti yang dijalankan oleh pihak berkuasa di negara India namun beliau menyifatkan ia agak keterlaluan.

“Kita tidak seperti itu (memukul) manakala kalau tangkap, memang sudah tertakluk di bawah akta dan kadang-kadang terpaksa dibuat,” katanya.

Beliau berkata, dari segi sumbangan kepada asnaf terutama yang terjejas sepanjang PKP, agihan melalui penghulu setiap mukim sudah dibuat berdasarkan senarai yang diperoleh.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan wujud salah faham di kalangan rakyat yang menganggap ia adalah bantuan untuk semua dan mula menyalahkan penghulu di kawasan masing-masing.

“Rakyat menyangkakan semua dapat sedangkan arahan kita adalah orang yang benar-benar terdesak yang diutamakan.

“Setiap mukim ada senarai penerima dan ia juga bergantung kepada keadaan sama ada mereka masih mempunyai kemampuan dan masih boleh keluar membeli bekalan,” katanya sambil memberitahu jika ada asnaf yang tercicir dari senarai, boleh merujuk kepada penghulu di mukim masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 8:31pm
    d