mutakhir

Laluan nyahkuman dalam 3 saat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KOLEJ Universiti TATI (UC TATI) akan menyediakan bilik pensterilan (Sterilization Chamber) bagi kemudahan barisan hadapan yang bertugas dan orang awam dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

Rektor UC TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, bilik pensterilan itu akan ditempatkan di balai polis, klinik desa dan pasar sekitar daerah Kemaman sebagai ruang laluan menyahkuman secara automatik selama tiga saat.

“Penggunaan sistem ini adalah lebih ringkas, menyeluruh dan berkesan untuk menyahkuman bagi frontliners (barisan hadapan) dan orang awam.

“Kos pembinaan satu unit dianggarkan bernilai RM1,000 dan ketika ini, satu unit daripadanya sudah hampir siap manakala beberapa unit lagi dalam proses akhir,” katanya dalam satu kenyataan media di Chukai, Terengganu.

Dr Anuar berkata, projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UC TATI dalam usaha membantu mengekang Covid-19 yang melanda ketika ini.

Katanya, melihat keadaan dialami negara ketika ini, UC TATI tampil membangunkan idea kreatif itu untuk bersama-sama membantu memberi perlindungan kepada masyarakat.

“Kita turut membuka peluang kepada individu dan syarikat yang berminat untuk berganding bahu menyumbang peralatan dan dana supaya lebih banyak unit dapat dihasilkan dan seterusnya dapat dimanfaatkan masyarakat setempat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 8:54pm
    d