mutakhir

PKP: Gadis jadi 'runner'

Oleh Siti Rohana Idris

SIMPATI dengan kebanyakan penduduk setempat yang tidak dapat keluar rumah berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP), seorang gadis di Tumpat mengambil inisiatif menjalankan khidmat ‘runner’.

Perkhidmatan itu dimulakan oleh Nurul Jannah Rodzi, 21, sejak hari keenam PKP untuk sekitar Tumpat dengan menunggang motosikal.

Penuntut Kolej Komuniti Rompin, Pahang dalam jurusan Sijil Kulinari itu berkata, khidmat penghantaran berkenaan juga dibuat untuk menampung hidup serta pengajiannya nanti sebaik tempoh kuarantin sempena wabak Covid-19 berakhir.

“Setiap hari saya akan ke kedai runcit dan pasar di Tumpat untuk mendapatkan barangan yang dipesan pelanggan sama ada barang kering atau basah.

“Pelanggan akan menghubungi saya di aplikasi WhatsApp menyatakan jenis barang yang diperlukan dan waktu untuk dihantar,” katanya ketika ditemui di Pasar Sumayyah, di Tumpat, baru-baru ini.

Anak tunggal dan tinggal di Kampung Tanjung Kuala itu berkata dia terdetik untuk menjalankan perkhidmatan sebagai runner itu disebabkan desakan untuk mendapatkan sumber pendapatan sepanjang PKP.

Dia yang nekad mengiklankan khidmat itu di laman sosial Facebook miliknya tidak menyangka begitu banyak maklum balas positif yang diterima.

“Setiap hari akan ada pelanggan yang meminta saya membeli keperluan mereka, malah ada dalam kalangan pelanggan yang tinggal di luar Kelantan yang memasukkan wang dalam akaun bank saya dan diminta membelikan barangan dapur kepada ibu bapa mereka di sini.

“Dari segi caj penghantaran pula saya menetapkan sebanyak RM5 dan pendapatan yang saya terima antara RM25 hingga RM45 sehari,” katanya yang turut menghasilkan kek dan biskut untuk tempahan.

Dari segi barangan mentah, dia mendapatkannya daripada seorang penjual ikan di Pasar Sumayyah iaitu Nor Syamsita Hussin, 40, yang turut menjadikan Nurul Jannah sebagai runner tetapnya.

Nor Syamsita berkata, dia tergerak hati untuk ‘melantik’ Nurul Jannah sebagai runner untuk menghantar jualannya kepada pelanggan apabila terbaca keluhan gadis itu di Facebook yang ingin mencari pendapatan di saat PKP bagi menampung hidup.

“Memandangkan saya turut mengiklankan hasil jualan barangan mentah di media sosial dan ramai yang membuat tempahan, tanpa teragak-agak saya menawarkan Nurul Jannah untuk membuat khidmat penghantaran.

“Situasi ini boleh dianggap menang-menang yang mana Nurul Jannah ada kerja sampingan dan urusan jual beli saya berjalan lancar,” katanya yang turut menjalankan penghantaran secara percuma untuk penduduk kampung sekitar yang terdiri daripada golongan asnaf.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 9:51am
    d