mutakhir

Covid-19: Masalah lambakan sayur dapat perhatian

Oleh Ramli Ibrahim

“ALHAMDULILLAH, lambakan pengeluaran sayur saya sudah mendapat perhatian pelbagai pihak,” kata petani, Mohd Jailani Mat Jusoh, 46.

Dia berkata, selain Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jabatan Pertanian, pemborong dari luar negeri ini juga ada menghubunginya.

Sehubungan itu, dia bersedia untuk memenuhi pembelian secara borong pihak terbabit supaya lambakan pengeluaran sayuran tidak berlaku lagi.

“Bermula hari ini saya menyediakan lebih 800 kilogram timun batang untuk dijual secara borong kepada pihak terbabit.

“Nasib baik ada maklum balas cepat daripada pihak berkenaan jika tidak saya akan menanggung kerugian berpanjangan,” katanya ketika ditemui di kebun sayurnya di Kampung Lepan Jaya, dekat Gua Musang, hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Harian Metro online melapor Mohd Jailani menanggung kerugian hampir RM1,000 sehari berikutan sayur tanamannya tidak dapat dipasarkan susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Mohd Jailani berkata, dalam tempoh PKP 14 hari lalu, banyak sayurnya disedekahkan kepada penduduk sekitar.

Dia berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim turut membantunya membeli sayuran itu untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

“Wakil rakyat membeli sayur bagi mengelakkan saya kerugian lebih teruk dan sekarang pemborong dari luar datang membelinya,” katanya.

Berita berkaitan

Rugi RM1,000 sehari, sayur tak terjual

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 10:54am
    d