mutakhir

Bantu dengan tangguhkan sewa premis

Oleh Omar Ahmad

PEMILIK premis perlu bertimbang rasa dengan mengecualikan sewa bulanan kepada penyewa untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan ketika menghadapi kesan akibat wabak Covid-19.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, ketika waktu getir ini semua masyarakat perlu bersatu hati dan membantu antara satu sama lain.

Katanya, dunia sekarang sedang memerangi Covid-19 yang memberikan banyak kesan ke atas sosial dan ekonomi.

“Kesan itu turut dirasai negara kita dan inilah masanya kita bersatu hati, orang kaya tanpa mengira bangsa perlu berkongsi rezeki mereka dengan yang kurang berkemampuan.

“Orang yang tidak mampu ini, mereka tiada kerja dan simpanan yang mencukupi untuk makan, apatah lagi mahu bayar sewa rumah.

“Kerajaan ada membantu, namun saya pasti bantuan yang diterima itu mereka perlu fokus untuk keperluan keluarga terutama makan minum dan perkara lain yang mendesak,” katanya.

Micheal berkata, institusi kewangan juga menawarkan moratorium kepada pelanggan dan kesempatan itu boleh digunakan pemilik premis untuk memberi kelonggaran kepada penyewa mereka.

Dalam pada itu, Micheal turut meluahkan kebimbangan terhadap mangsa peminjam wang tidak berlesen atau Ah Long kerana keadaan mereka semakin terhimpit.

“Kerajaan mengumumkan pelbagai bantuan kepada rakyat sebagai meringankan beban ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

“Tetapi mereka tidak akan merasa nikmat itu kerana sebahagian besar kad bank mereka di pegang Ah Long dan konco-konconya.

“Jadi saya nasihatkan mangsa Ah Long batalkan kad bank mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 11:39am
    d