mutakhir

Terima bantuan secara pandu lalu

Oleh Asrol Awang

SERAMAI 170 penjaja, peniaga gerai makan dan jualan dari but kereta menerima bantuan khas tunai RM150 dan barang keperluan bernilai RM50 yang disumbangkan Kerajaan Pahang.

Bantuan yang disampaikan secara pandu lalu itu membabitkan peniaga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum dilakukan selama empat hari yang berakhir hari ini di perkarangan ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Kuantan.

Ketua Seksyen dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, semua peniaga yang menerima bantuan itu adalah dalam kalangan mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Katanya, kaedah pengagihan bantuan dilakukan secara pandu lalu sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mereka dan dapat digunakan sebaiknya sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 26 Mac lalu, seramai 271 pemandu teksi di daerah itu menerima bantuan khas berkenaan yang diharap dapat meringankan beban dihadapi.

Bagi memastikan wabak Covid-19 dihapuskan, beliau turut meminta warga Kuantan mematuhi jarak sosial satu meter, mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Norkamawati berkata, pihaknya turut menggalakkan penggunaan penutup mulut dan hidung serta memendekkan tempoh masa apabila berurusan di luar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 1:58pm
    d