mutakhir

Hanya jawab soalan, bukan keluar fatwa

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

JABATAN Mufti Perak menafikan mewartakan fatwa supaya bayaran penuh dilakukan pemilik pusat asuhan serta institusi pembelajaran sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Sebaliknya, Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, ia sebaliknya merupakan ‘Irsyad Hukum’ (petunjuk hukum) yang dikeluarkan oleh mufti sebagai panduan umum terhadap pertanyaan awam dan persoalan masyarakat terhadap isu semasa dan tidak membabitkan sebarang akta dan Enakmen.

Menurutnya, jawapan itu diberikan bagi merungkai permasalahan berkaitan persoalan yuran atau upah terhadap tadika, pusat tuisyen, dan sekolah umpamanya selain kenyataan itu bertujuan menjelaskan beberapa aspek dan asas utama dalam muamalat yang perlu diteliti sebelum petunjuk hukum dikeluarkan.

“Antaranya saling reda-meredai antara kedua-dua pihak iaitu penekanan terhadap kaedah perbincangan, taklimat, rundingan, atau pemakluman awal dengan merujuk terma perjanjian selain pematuhan undang-undang serta perjanjian yang turut menekankan aspek pematuhan kepada pihak berwajib.

“Di samping itu unsur utama yang perlu diambil kira adalah aspek pemberian dan pembekalan perkhidmatan menerusi pemeteraian kontrak yang turut mengambil kira faktor mendatang atau ‘awaridh tari’ah’ serta hal mendatang yang tidak terduga atau “zuruf tari’ah.

“Berikutan PKP yang disebabkan Covid-19 memberi kesan kepada kemampuan dan keberkesanan perkhidmatan, adalah penting untuk pemerhatian dan pemahaman mengenai aspek ini diwujudkan bagi keredaan kedua-dua pihak selain menghindari ketidakadilan dan perkara tidak jelas dalam muamalat,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan masyarakat khususnya warganet supaya melihat sesuatu hukum yang dikeluarkan dari sudut positif serta tidak beremosi dalam menilai sesuatu khususnya mengaitkan sesuatu yang tidak berkaitan dengan isu dan soalan.

Katanya, pengasuh atau pengusaha institusi pendidikan terbabit perlu mengambil langkah menang-menang dengan ibu bapa atau penjaga.

Terdahulu, Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi jawapan berhubung permasalahan itu yang disiarkan melalui Facebook rasmi jabatan itu pada 30 Mac lalu memaklumkan bayaran yang dikenakan terhadap pengguna perkhidmatan institusi berkenaan tertakluk kepada uruf (kelaziman) iaitu berdasarkan pekeliling dan pernyataan di awal sesi asuhan atau pembelajaran bermula.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 2:48pm
    d