mutakhir

'Tiada bazar kami masak sendiri'

Oleh Rosyahaida Abdullah

“MUNGKIN saya perlu lebih kerap masak sendiri selepas ini namun ia juga bukanlah masalah besar. Setidak-tidaknya saya boleh belajar,” kata Mohamad Nazmi Mohamad Yunos, 29.

Mohamad Nazmi memberikan respons kepada ketiadaan bazar Ramadan di kebanyakan negeri termasuk Selangor susulan langkah kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menurut guru sekolah di ibu kota ini, sudah menjadi kebiasaan dia dan beberapa rakan lain untuk berbuka puasa bersama di rumah rakan bujang mengikut giliran setiap kali tiba Ramadan.

“Sama ada masak sendiri atau beli di mana-mana, biasanya kami memang akan berbuka bersama jika tidak pulang ke rumah keluarga pada hari itu.

“Memanglah ada bazar Ramadan lebih mudah kerana semuanya ada di situ baik makanan berat, kuih-muih, air (minuman), buah-buahan dan macam-macam lagi.

“Tetapi kalaupun tiada, apa boleh buat. Saya sendiri sudah terbiasa untuk pastikan ada sardin (dalam tin), ikan bilis dan telur di rumah untuk dimasak pada waktu-waktu tertentu,” katanya.

Bagi Mohd Fadhullah Abd Manaf, 37, setiap tahun dia akan ke bazar Ramadan untuk mendapatkan makanan tertentu seperti tepung pelita disebabkan makanan itu jarang didapati pada waktu selain Ramadan.

Mengakui tidak begitu gemar mencuba makanan yang belum pasti sedap dan terjamin, jurugambar sepenuh masa ini lebih selesa membeli makanan berat yang sudah biasa dibeli sebelum ini.

“Pada saya, bazar Ramadan memang mempunyai banyak pilihan namun harga kebanyakan makanan di bazar sekarang pun tidaklah murah jadi saya tidak begitu terkesan jika tiada bazar pada tahun ini.

“Mungkin saya akan rindukan tepung pelita Paya Jaras yang selalu saya beli di bazar Ramadan Kampung Sungai Penchala tahun lalu kerana ia hanya ada pada bulan puasa.

“Selebihnya, saya masih tiada masalah dan akan masak sendiri jika tiada pilihan atau sudah bosan beli di kedai. Lagipun, memasak bukanlah sukar sangat untuk lelaki,” katanya.

Bagi Arman Shah Azrullah, 41, walaupun agak bergantung kepada bazar Ramadan sebelum ini, pengalaman hubungan jarak jauh dengan isteri yang bekerja berlainan negeri menjadikannya belajar memasak dengan lebih cekap.

Malah jelas bapa kepada tiga anak ini, setiap kali balik ke Terengganu bertemu isteri dan anaknya, dia akan mengambil alih tugas memasak untuk membolehkan isterinya berehat buat sementara waktu dari tugasan dapur.

“Sudah tiga tahun kami tinggal berjauhan dan selama itu jugalah saya belajar masak sendiri. Memang saya agak kerap ke bazar Ramadan disebabkan penat berpuasa jadi malas juga untuk masak.

“Namun ada kalanya saya memang masak sendiri kerana lebih puas dengan rasanya. Kalau bazar Ramadan tiada, restoran dan kedai makan masih beroperasi jadi tiada masalah,” katanya.

Susulan wabak Covid-19 yang masih belum reda disertai lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, beberapa negeri mengambil pendekatan membatalkan bazar Ramadan di negeri masing-masing pada tahun ini.

Antara negeri yang terbabit termasuk Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor, sebagai sebahagian usaha lebih serius dalam mengekang penularan wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:05pm
    d