mutakhir

Dua dihukum ingkar PKP

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG peniaga didenda RM800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau, hari ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 29 Mac lalu.

Simon Tiong Hang King, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 50 Jalan Semporna -Tawau, pada jam 5.25 petang, 29 Mac lalu.

Ketika kejadian, Simon memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari Semporna menuju ke Tawau.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh ketika ditahan dikatakan tidak berpuas hati dengan arahan anggota keselamatan berkaitan PKP, sebelum memandu kenderaannya dalam keadaan berbahaya dengan membuat pusingan U sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada anggota bertugas.

Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Dayang Nor Azarinawaty Ag Kachee sementara tertuduh di wakili Peguam Jhesseny Kang.

Sementara itu, di mahkamah sama juga seorang remaja 19 tahun dijatuhi hukuman penjara empat hari selepas mengaku bersalah gagal PKP Ahad lalu.

Tertuduh Mohd Ali, 19, yang bekerja sebagai pemungut barang lusuh didakwa bergerak dari Batu 4 Jalan Apas ke Batu 3 di sini, pada jam 8.45 malam.

Bagi kesalahan itu, mahkamah memerintah tertuduh dipenjara empat hari bermula dari tarikh dia ditangkap.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:15pm
    d