mutakhir

Perlu SOP untuk terawih di masjid

Oleh Rosyahaida Abdullah

PERBINCANGAN khas termasuklah prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat perlu dilaksanakan bagi membolehkan solat terawih dilakukan secara berjemaah di surau atau masjid pada tahun ini.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, seandainya wabak Covid-19 di negara ini beransur pulih menjelang Ramadan iaitu kira-kira tiga minggu lagi, mungkin boleh dipertimbangkan tetapi perlu disertai kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika SOP yang ketat dilaksanakan di pasar raya ketika orang ramai datang membeli barangan keperluan mereka, mungkin SOP seumpama itu boleh digunakan di masjid dan surau malah lebih ketat.

“Namun ini juga mungkin terpakai untuk masjid dan surau yang langsung tiada kes Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) misalnya serta mengenakan syarat tertentu untuk orang dari luar kawasan turut serta dalam solat jemaah terbabit.

“Apapun, semuanya tertakluk kepada keizinan KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pihak berkuasa yang terbabit untuk memastikan ibadat ini nanti benar-benar selamat untuk dilakukan di masjid dan surau dan tidak mendatangkan risiko atau mudarat kepada jemaah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, sudah agak lama masjid dan surau sepi dengan kehadiran kariah untuk solat berjemaah selain pelbagai aktiviti seperti kuliah dan sebagainya.

Katanya, walaupun amalan itu (solat sunat terawih berjemaah di masjid sepanjang Ramadan) tidak dilakukan Rasulullah, ia mula diamalkan Umar Al-Khattab sebanyak 20 rakaat.

“Amalan Saidina Umar Al-Khattab ini kemudiannya menjadi ikutan Imam Syafie yang juga menjadi amalan kita sebagai pengikut mazhabnya,” katanya.

Majlis Dakwah Negara semalam dilaporkan memberi cadangan supaya umat Islam menunaikan solat sunat tarawih di rumah masing-masing sekiranya wabak Covid-19 masih belum berakhir.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman turut menyarankan solat sunat Aidilfitri dilakukan di luar masjid khususnya kawasan terbuka sekiranya wabak Covid-19 masih belum berakhir menjelang Syawal nanti.

“Ini juga ada dilakukan pada zaman dahulu malah beberapa kawasan di negara luar seperti Rusia turut melakukan solat sunat Aidilfitri di kawasan lapang jadi mungkin boleh dipertimbangkan.

“Fadilatnya mungkin kurang kerana saf perlu dijarakkan demi kurangkan risiko, namun boleh dipertimbangkan kerana ia juga di kawasan yang tidak tertutup seperti di masjid, risiko jangkitan mungkin lebih rendah.

“Bagaimanapun, seperti saya katakan, ia perlu disokong oleh keizinan pihak berkuasa khususnya KKM dengan SOP yang ketat selain faktor cuaca yang baik.

“Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya wabak Covid-19 ini segera berlalu dan kita dapat kembali mengimarahkan masjid dan surau seperti selalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 4:23pm
    d