mutakhir

Dapat berniaga dua minggu pun cukuplah...

Oleh Adnan Ibrahim

PENIAGA di daerah ini berharap bazar Ramadan dapat diadakan tahun ini walaupun hanya beroperasi untuk tempoh dua minggu terakhir.

Bagaimanapun, mereka tetap akur dengan ketetapan dikeluarkan oleh kerajaan negeri jika bazar Ramadan tidak dapat dianjurkan.

Pengerusi Persatuan Usahawawasan Kecil Kluang (PUKK) Jaafar Sulaiman berkata, tiada apa-apa yang boleh dilakukan sekiranya larangan sudah ditetapkan walaupun peniaga terpaksa berhadapan dengan kerugian besar.

Katanya, ahli persatuan yang berniaga pakaian serta kelengkapan lain untuk pelanggan menyambut Syawal pasti rugi kerana barangan berkenaan sudah dibeli sejak awal tahun ini.

“Jika tiada bazar Ramadan, bermakna kami akan rugi kerana ribuan ringgit sudah dibelanjakan untuk membeli barangan jualan. Ia dibeli awal bagi mengelak pembekal menaikkan harga di saat akhir.

“Ia berbeza dengan peniaga yang menjual makanan kerana mereka hanya membuat persiapan pada minggu akhir sebelum orang ramai mula berpuasa,” katanya.

Jaafar bagaimanapun tidak pasti Covid-19 akan berakhir dalam masa terdekat berdasarkan kes terbaru dipaparkan setiap hari.

“Kami berdoa wabak ini segera berakhir seterusnya membolehkan semua orang menjalani rutin harian seperti biasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:32pm
    d