mutakhir

4 pelajar nafi langgar PKP

Oleh Mohd Amin Jalil

EMPAT remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun antara 14 lelaki yang mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua 14 tertuduh terbabit didakwa mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dihukum mengikut Peraturan 7, Peraturan sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Empat remaja terbabit yang masih bersekolah sekitar Seremban melakukan kesalahan berkenaan pada 29 Mac lalu sekitar jam 6 petang di kawasan Senawang, di sini.

Mereka ditangkap sepasukan anggota dari Balai Polis Senawang dan Balai Polis Seremban yang membuat rondaan dan penguatkuasaan PKP.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, dalam satu kenyataan hari ini berkata, keempat-empat remaja berkenaan mengaku tidak bersalah dan membayar jaminan mahkamah sebanyak RM1,000 seorang manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan 20 Mei depan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 9:10pm
    d