mutakhir

Rezeki Siti Nuraisyah

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BAGI mencari pendapatan tambahan, wanita ini mengambil peluang melakukan perniagaan menjual makanan di atas talian dan dihantar terus kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Penyiaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Nuraisyah Ibrahim, 32, berkata, sejak arahan PKP dikeluarkan, purata pendapatan harian yang diperolehinya adalah sekitar RM100 hingga RM200 sehari.

Katanya, dia yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan termasuk menjual pakaian terpakai mengakui tempoh pelaksanaan PKP yang dilanjutkan memberi peluang mencari wang tambahan dalam menghadapi situasi amat sukar pada ketika ini.

“Kebanyakan penduduk di sekitar bandar Kota Bharu yang enggan keluar dari rumah akan memesan makanan yang diiklankan menerusi Facebook dan WhatsApp.

“Sejak PKP mula diperketatkan, penghantaran makanan ke rumah pelanggan juga semakin kerap iaitu antara 17 hingga 20 perjalanan setiap hari bergantung kepada tempahan yang kebanyakannya tinggal di sekitar Kota Bharu.

“Saya menganggap pelaksanaan PKP dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini sebagai satu inisiatif untuk saya melakukan penghantaran makanan kepada mereka yang mengalami kesukaran keluar rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anak sulung daripada 11 beradik ini berkata, bagi menjimatkan kos upah, adik-beradik lelakinya akan menghantar pesanan makanan itu ke rumah pelanggan, namun pada masa sama mereka juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman semasa menghantar makanan.

“Dengan hasil jualan makanan yang diperolehi sepanjang tempoh PKP ini dapatlah digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga untuk Ramadan nanti.

“Saya bukan dalam kalangan orang yang senang, ayah hanya bekerja sebagai petugas am di masjid dan ibu pula mencari rezeki dengan mengambil upah mengurut, manakala adik-beradik lain masih ada yang belajar.

“Sepanjang tempoh PKP, ibu dan ayah tidak dapat keluar bekerja seperti kebiasaannya dan saya berharap dengan perniagaan menjual makanan yang diusahakan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 10:35am
    d