mutakhir

Petani sedekah lada solok

Oleh Ramli Ibrahim

PETANI bermurah hati apabila bersedekah 100 kilogram lada solok kepada warga Felda Aring 1 di Gua Musang untuk meringankan beban sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan.

Lada solok itu diserahkan kepada Majlis Belia Felda (MBF) sebelum diagih-agihkan kepada penduduk di tepi jalan hadapan Masjid Felda Aring 1 bermula semalam.

Pengerusi MBF Kelantan, Mohd Norfazly Mohd Daud berkata, dalam tempoh dua hari, sebanyak 100 kilogram lada solok diberi secara percuma kepada penduduk.

Menurutnya, petani terbabit yang juga anak generasi kedua Felda tidak sanggup menjual keseluruhan hasil lada solok itu ketika PKP dikuat kuasakan bagi menangani penularan Covid-19.

“Inisiatif berkenaan diambil bagi mengurangkan beban ditanggung penduduk, manakala lada solok selebihnya dipasarkan di luar kawasan Felda terbabit.

“Harga lada solok itu memang mahal, tetapi ia diberi percuma kepada penduduk penempatan berkenaan untuk meringankan perbelanjaan mereka,” katanya.

Katanya, selain lada solok, tanaman sayur-sayuran lain juga yang diusahakan generasi kedua Felda itu juga bakal diberi secara percuma kepada penduduk.

“Alhamdulillah, itulah usaha kita bagi membantu warga Felda yang terkesan dengan pelaksanaan PKP ini.

“Ia secara tidak langsung bagi mengelak penduduk terdedah kepada Covid-19 jika mereka pergi ke bandar untuk membeli barang keperluan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 2:08pm
    d