mutakhir

Tiga dron pantau lokasi PKPD [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

TIGA dron digunakan untuk memantau tahap kepatuhan penduduk dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai hari ini.

Ia dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Ops Penawar.

Ketua Tim Dron Ops Penawar Kolonel Abdul Razak Sipit berkata, pemantauan dilakukan bermula 7.30 pagi hingga 10 malam bagi memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk kenderaan kecuali pasukan petugas.

“Dron juga digunakan bagi memantau pematuhan penduduk kampung untuk terus tinggal di rumah selain pusat perniagaan serta perkhidmatan.

“Ketika pemantauan, kami juga akan memberi amaran sekiranya menemui individu yang berkumpul di satu-satu kawasan PKPD.

“Bagaimanapun, penguat kuasa akan dimaklumkan sekiranya ia membabitkan perhimpunan yang ramai,” katanya.

Abdul Razak berkata demikian pada taklimat berkaitan penugasan pasukannya di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam.

Turut hadir Panglima Tujuh Briged Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu dan Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim.

Menurut beliau, melalui dron itu juga, pihaknya akan menyampaikan hebahan serta motivasi kepada penduduk kampung agar mereka terus cekal menghadapi PKPD.

Abdul Razak berkata, hasil pemantauan malam tadi dan awal pagi ini, penduduk dalam kawasan PKPD serta keseluruhan penduduk di Simpang Renggam didapati mematuhi arahan berkenaan.

“Selain Simpang Renggam, kami merancang untuk memantau beberapa kawasan seperti di Batu Pahat dan Muar.

“Setiap kali dron diterbangkan, rakaman akan dipancarkan secara langsung ke markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bukit Aman dan Pusat Operasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 2:26pm
    d