mutakhir

32 ingkar PKP ditahan

Oleh Mohd Roji Kawi

INDIVIDU yang ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-17 hari ini di Sarawak didapati semakin menurun.

Dalam tempoh 24 jam mulai 8 pagi semalam, seramai 32 individu ditahan kerana ingkar perintah dan jumlah itu sedikit menurun berbanding jumlah tangkapan pada hari sebelumnya iaitu seramai 37 orang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, penurunan itu memberi isyarat positif bahawa orang ramai kini semakin memberi kerjasama dan mematuhi perintah berkenaan.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya didapati kadar peratusan pematuhan PKP di Sarawak berada pada tahap 95 peratus.

“Jumlah kenderaan di jalan raya dan bilangan orang ramai yang keluar tanpa alasan munasabah kini didapati semakin berkurangan.

“Tangkapan juga berkurangan dan kita berharap agar masyarakat akan terus memberikan kerjasama dalam usaha kita bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Sehingga kini, seramai 381 orang ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan di Sarawak.

Daripada jumlah itu, seramai 235 orang didakwa di Mahkamah sejak 18 Mac dengan 208 orang mengaku bersalah, manakala 19 lagi tidak mengaku bersalah.

“Seramai 90 orang dihukum penjara, 59 lagi dikenakan hukuman penjara serta denda dan 36 lagi hanya didenda.

“Polis juga mendapat waran tangkap terhadap lapan suspek yang tidak hadir mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 4:27pm
    d