mutakhir

Kelonggaran hanya untuk alasan munasabah

Oleh Redzuan Muharam

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan terdapat kelonggaran orang ramai bergerak melebihi lingkungan 10 kilometer (KM) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seandainya mempunyai alasan munasabah.

Bagaimanapun, Dr Adham menegaskan kelonggaran hanya diberi kepada mereka yang tinggal jauh daripada hospital atau lain-lain lokasi bagi mendapatkan perkhidmatan penting.

“Kita mempunyai beberapa kelonggaran perlu kita laksanakan bagi yang perlu seperti mereka mahu menjalani rawatan juga memerlukan keperluan penting serta mendapatkan ubat-ubatan.

“Tidak ada satu sebab menghalang mereka pergi jauh sekiranya perkhidmatan kesihatan lebih daripada jumlah kilometer disebutkan.

“Kalau kita lihat perkara itu banyak berlaku di Sabah dan Sarawak tetapi di Kuala Lumpur, perkhidmatan kesihatan dekat jadi kita mempunyai kelonggaran khusus, tiada masalah. Mereka hanya perlu memberitahu perlu mendapatkan keperluan atau rawatan itu,” katanya ketika mengulas mengenai perkara terkandung dalam syarat pergerakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas selesai mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:09pm
    d