mutakhir

Agiko bantu petugas barisan hadapan

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Alumni Graduan Institusi Graduan Korea (Agiko) mengambil inisiatif dalam usaha memberikan sokongan dan membantu petugas barisan hadapan negara menangani Covid-19.

Presiden Agiko, Zamri Abbas berkata, pihaknya mengambil inisiatif mempromosikan kempen bagi mengumpulkan dana untuk membantu petugas barisan hadapan.

Katanya, dana diterima daripada ahli dan orang ramai termasuk masyarakat Korea Selatan yang berada di negara ini serta syarikat korporat.

“Dana itu digunakan untuk membeli pelbagai barangan termasuk pek makanan, minuman dan perkakasan yang kemudiannya disalurkan kepada pasukan petugas terbabit.

“Barangan berkenaan diberikan beberapa petugas hospital antaranya Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, Hospital Serdang, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan Klinik Kesihatan Senawang.

“Sumbangan turut diberikan kepada pegawai penguat kuasa termasuk polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya selepas menyerahkan barangan berkenaan kepada kakitangan HTJ, di Seremban, hari ini.

Zamri berkata, pihaknya akan meneruskan aktiviti itu sehingga negara ini bebas daripada Covid-19.

Sehubungan itu, katanya, Agiko akan berusaha mengumpulkan dana bagi memastikan program amal itu dapat diteruskan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:31pm
    d