mutakhir

Padah jual harga melampau

Oleh Baharom Bakar

SEBANYAK 223,000 penutup hidung dan mulut dianggarkan bernilai RM458,373 dirampas sejak kerajaan mengumumkan harga lantai RM1.50 untuk barangan itu, Rabu lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, antara premis yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan adalah farmasi, pasar raya dan klinik swasta.

Katanya, nilai kompaun dikenakan ke atas premis, termasuk menaikkan harga melebihi harga lantai dianggarkan bernilai keseluruhan RM142,400.

“Bilangan kes paling tinggi direkodkan adalah mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual melebihi harga maksimum membabitkan sebanyak 28 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM458,009 dan dikenakan kompaun berjumlah RM141,500.

“Tiga kes lain membabitkan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Perintah Kawalan Harga 1980 kerana tiada tanda harga membabitkan nilai rampasan RM316 dan dikenakan kompaun berjumlah RM900,” katanya.

Rosol berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan penutup hidung dan mulut untuk digunakan wardar di Penjara Terbuka Marang, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Penjara Terbuka Marang, Penguasa Penjara, Mohd Irwan Awang dan Timbalan Penguasa Penjara, Mohd Nazri Mohamed.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, dua lagi kes membabitkan peniaga mensyaratkan pelanggan membeli produk lain sebelum dibenarkan membeli penutup hidung dan mulut.

“Dua peniaga terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, AKHAP 2011 dan tiada tawaran kompaun dikenakan, ” katanya.

Katanya, pihaknya menerima sebanyak 317 aduan membabitkan pelbagai kesalahan dalam penjualan penutup hidung dan mulut.

“Sebanyak 11,844 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara sejak kerajaan mengumumkan harga lantai penutup hidung dan mulut, sejak Rabu lalu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:48pm
    d