mutakhir

'Jual air kotum yo jang...'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

BOSAN dan tidak tahu mahu buat apa di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi alasan empat lelaki menjual air ketum di sekitar Kampung Baru Air Hitam, Jempol, sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka yang berusia antara 20 hingga 40-an itu berakhir apabila polis menyerbu rumah di kampung berkenaan pada 2 petang hari ini.

Serbuan diketuai Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif bersama Timbalannya, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Noor sebaik menerima maklumat awam mengenai lokasi membungkus air ketum itu.

Dalam serbuan itu, polis turut memusnahkan empat batang pokok ketum di belakang rumah suspek yang dipercayai mempunyai ikatan kekeluargaan.

Ketika ditanya polis, suspek mengakui menjual air ketum bagi mengisi masa terluang sepanjang berada di rumah ekoran PKP.

“Kebetulan air ketum mendapat permintaan dalam kalangan penduduk tempatan, jadi kami mengambil kesempatan menjualnya dengan harga RM12 setiap 1.5 liter,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairiel berkata, suspek dipercayai mencampurkan air ketum yang dijual dengan ubat batuk dan minuman berkarbonat.

Katanya, suspek dipercayai mengambil air ketum yang sudah dimasak di tempat lain sebelum membungkus di rumah di kampung itu.

“Kami percaya, hasil jualan air ketum itu digunakan suspek bagi membeli dadah berikutan polis turut menemui syabu seberat 0.5 gram dan peralatan menghisap dadah.

“Pokok ketum yang ditebang turut dimusnahkan dengan racun khas yang menghalang pokok berkenaan tumbuh semula,” katanya.

Mohd Khairiel berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut di kejadian selain sudah mengenal pasti lokasi memasak air ketum di sebuah tanah rancangan FELDA.

Katanya, polis merampas 15 liter air ketum dan dua plastik daun ketum serta menahan semua suspek bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:29pm
    d