mutakhir

3,026 rakyat Malaysia terkandas di luar negara

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SERAMAI 3,026 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 45 negara dengan India kekal merekodkan jumlah tertinggi rakyat negara ini terkandas.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, negara India kekal merekodkan jumlah tertinggi rakyat Malaysia terkandas di luar negara iaitu seramai 1,446 orang.

Menurutnya, negara lain yang mencatatkan sejumlah besar rakyat Malaysia terkandas adalah di Thailand (259 orang), Australia (152

orang), New Zealand (149 orang), Pakistan (144 orang), Vietnam (131 orang), Arab Saudi (121 orang), Filipina (97 orang), Sri Lanka (61 orang) dan Nepal (50 orang).

“Daripada jumlah 3,026 orang rakyat Malaysia yang terkandas ini, seramai 2,016 orang sahaja adalah pelancong atau pelawat jangka pendek manakala selebihnya yang menetap atau bermastautin di negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, mereka tinggal di negara terbabit atas sebab pekerjaan atau pembelajaran, tetapi membuat perancangan untuk pulang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka boleh dikategorikan sebagai terkandas yang tidak kritikal.

“Kementerian Luar Negeri seterusnya memaklumkan bahawa sehingga hari ini, seramai 4,577 rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air sama ada secara proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyambut baik hasrat mana-mana pihak untuk bekerjasama menghulurkan bantuan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di luar negara.

Dalam perkembangan yang lain, Malaysia menerima 1,000 unit Covid-19 Test Kit daripada Kerajaan Brunei di Wisma Putra hari ini.

Kamarudin berkata, sumbangan itu disampaikan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Brunei Pengiran Asnawi Arbi Pengiran Dato Paduka Sharifuddin kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

“Penyerahan sumbangan Brunei ini turut mempamerkan hubungan istimewa yang terjalin sepanjang 36 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Ini turut menunjukkan komitmen tinggi kedua-dua negara sebagai negara anggota Asean dalam menangani krisis Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:33pm
    d