mutakhir

10 bot kumpit keluar dari perairan Sabah

Oleh Juwan Riduan

SEBANYAK 10 bot kumpit dari negara jiran sudah meninggalkan perairan negeri ini selepas dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah.

Terdapat enam bot kumpit di perairan Sandakan manakala di Labuan dan Tawau masing-masing dua yang bergerak keluar bermula 1 April hingga 3 April lalu.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, semua bot kumpit itu mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk berlabuh di perairan Sabah bagi tujuan pemunggahan barangan di Pelabuhan Labuan, Sandakan dan Tawau.

“Antara aktiviti pemunggahan barangan seperti beras, minyak masak dan mee untuk dibawa balik ke Filipina. Pergerakan kumpit terakhir keluar dari perairan Sabah adalah dari Labuan sebanyak dua pada 3 April lalu.

“Di Tawau, pergerakan kumpit terakhir iaitu pada 1 April lalu manakala di Sandakan pada 2 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan akan terus membuat pemantauan secara berterusan khususnya membabitkan pergerakan bot kumpit di perairan Sabah.

“Sekiranya masih ada kumpit cuba memasuki perairan Sabah, tindakan mengusir atau melaksanakan tangkapan dilakukan jika mereka tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sehingga 14 April ini.

“Oleh itu, PPM memberi amaran keras kepada ejen bot kumpit bagi memastikan tiada lagi kemasukan ke perairan Sabah dalam tempoh PKP ini sehingga mendapat arahan lanjut dari kerajaan Sabah,” katanya.

Menurutnya, ini adalah salah satu peranan yang dilaksanakan dan dirancang oleh PPM Sabah dan Labuan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 di seluruh Sabah, selain melaksanakan peranan dalam mengekang dan memerangi jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan.

“Kita juga menasihati penduduk pulau di Sabah supaya mematuhi PKP yang sedang berkuat kuasa dan tangkapan akan dilakukan apabila mereka didapati mengingkari PKP.

“Kepada warga PPM Sabah dinasihati utamakan kesihatan dan keselamatan diri dalam melaksanakan tugas di medan seperti yang digariskan. Kita mendoakan Sabah pulih secepat yang mungkin daripada gejala wabak Covid-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 11:00am
    d